Jumat, 03 Juni 2011

Memburu Hikmah

Oleh Ibn ‘Athaillah
Penawar Hati, Penyejuk Jiwa
Allah menganugerahkan al-Hikmah kepada siapa yang Dia kehendaki. Barangsiapa yang dianugerahkan al-Hikmah beerti telah dianugerahkan kurnia yang banyak. Hanya orang berakal yang dapat mengambil pelajaran.” (Al-Baqarah, ayat 269)
Hikmah bukanlah nubuwwah, melainkan ilmu pemahaman dan al-Quran al-Karim. Ada yang berpendapat bahawa hikmah adalah rasa takut dan cemas kepada Allah.
Imam Malik r.a. berkata : “Yang tersirat dalam jiwa anda, hikmah adalah pemahaman terhadap agama serta rahmat dan kurnia Allah yang dimasukkan ke dalam jiwa.”

Perkara itu menjadi jelas apabila kita menyaksikan seseorang yang pandai dalam urusan dunia namun tidak memahami agama sama sekali. Sementara ada lagi orang yang lemah dalam urusan dunia tetapi faham dalam masalah agama dan peka terhadap urusan akhirat.
Wahai manusia, janganlah anda jauh dari majlis hikmah walaupun anda telah terjerumus dalam maksiat. Janganlah berkata : Apa gunanya menghadiri majlis ilmu dan hikmah kalau aku masih tidak boleh meninggalkan maksiat?

Seorang pemburu mesti boleh membedik majlis ilmu dan hikmah, lalu anda kembali pada kesalahan dan kelalaian, jangan berputus asa dengan berkata : Apa gunanya hadir?
Tetapi hadirlah ke majlis ulama dan perhatikanlah mereka agar anda sedar, mendapat manfaat dan selamat dari dosa.


Barangkali dalam diri anda ada penyakit yang sudah berumur 40 tahun. Mungkinkah anda dapat menghilangkan penyakit tersebut dalam sekejap atau dalam sehari? Sabar dan tekunlah dalam meminum ubat serta periksakan diri anda kepada yang pakar.

Bagaimana menurut anda kalau ada seseorang yang meninggalkan periginya di padang pasir selama bertahun-tahun kemudian angin yang bertiup membuat perigi tersebut tertimbus oleh tanah dan pasir. Bolehkah orang itu sampai ke dasar mengambil air dalam sehari atau seminggu? Tentu sahaja tidak boleh. Anda juga demikian. Anda telah membiarkan ‘basirah‘ (mata hati) anda diterpa oleh angin maksiat dan dosa. Lalu anda tanamkan di dalamnya pelbagai kotoran selama 40 tahun hingga padam. Kemudian anda ingin melenyapkan kotoran serta membersihkannya dalam satu pertemuan sahaja. Apa itu mungkin?

Jika anda mendengar sebuah hikmah tetapi tidak melakukannya ibarat orang yang memakai baju perang dan memegang pedang tetapi tidak berperang, hikmah itu seperti rantai. Jika rantai tersebut anda pergunakan untuk mengikat diri anda pasti tidak akan terlepas. Tetapi jika anda campakkan hikmah tersebut ke dalam su’ ul-khatimah (pengakhiran yang buruk). Na’udzubillah. Kerana jika ubat sudah tiada lagi bekerja dan bertindak balas, beerti pesakit itu tidak lagi akan hidup.

Ia tidak ubah seperti orang gila yang merosakkan rumah, mengoyakkan baju dan menghancurkan perabut di dalamnya. Jika diikat, ia akan berhenti tetapi jika anda buang rantai tadi lalu ia keluar dari rumah, bahayanya tetap ada, kejahatannya tetap berlangsung dan akibatnya akan berakhir dengan buruk.
Wahai hamba Allah, dalam dirimu ada rasa cinta terhadap kekuasaan, pangkat, harta atau lainnya.

Lalu anda berkata : Kami sudah hadir dalam majlis Syeikh Fulan. Kami juga sudah mendengar nasihatnya tetapi sama sekali tidak menggugat hati dan tidak ada manfaatnya.
Anda tidak boleh mengecam Syeikh itu. Yang salah adalah diri anda sendiri. Kerana jika cahaya tertutup oleh pintu ia tidak boleh masuk ke dalam rumah. Oleh itu, akuilah bahawa penghalang masuknya ilmu adalah diri anda sendiri.

Apabila dari mula anda menyiapkan diri dan menjauhkan semua penghalang dari jiwa, pasti jiwa anda tersentuh dan tidak perlu lagi hadir ke majlis lain. Yang anda perlukan hanyalah pergi ke majlis tersebut secara berterusan kerana karat yang ada di jiwa anda memang banyak. Sehingga pada setiap langkah anda ke sana ada cahaya yang masuk. Oleh itu, bersabarlah, ambillah pelajaran serta tekunlah.

Ketahuilah, setiap kali anda menghadiri majlis hikmah, di leher anda terdapat rantai cahaya rabbani. Sebaliknya, setiap kali anda menghadiri tempat maksiat, di leher anda terdapat rantai kegelapan. Jika perkara itu tidak boleh anda lihat, yang lainnya boleh melihat. Bukankah matahari boleh dilihat oleh semua orang kecuali oleh yang buta!

Apabila anda boleh hadir pada majlis hikmah, itu merupakan rahmat yang Allah berikan pada anda. Maka itu, terimalah kurnia-Nya, jagalah dengan baik serta amalkanlah.

Wahai manusia, anggota badan anda adalah ternakan anda sementara anda penggembala yang dipercayai menjaganya. Adapun Allah merupakan Pemiliknya. Jika ternakan tersebut digembalakan di tempat yang subur, diberi minum dan dijaga dari serangan serigala beerti anda telah memberi kesenangan pada Pemiliknya. Anda juga akan mendapat sanjungan dan upah yang banyak.

Akan tetapi, sekiranya ternakan itu digembalakan di tempat yang kering sehingga sebahagian besar ternakan itu menjadi kurus, sebahagian lagi mati kehausan kemudian ketika serigala datang anda tetap tidak bertindak, anda layak mendapat hukuman dan murka dari Pemiliknya.

Jika mahu Dia boleh menghukum anda atau boleh memberi kemaafan. Jadi boleh mendapat pahala ke syurga atau boleh juga mendapat seksaan neraka. Bila anda mengendalikan ia sesuai dengan keredaan Allah, beerti anda sedang berusaha menuju syurga. Jika tidak, beerti anda sedang berusaha meniti jalan ke neraka.

Inilah timbangan hikmah. Timbanglah akal anda dengannya sebagaimana anda menimbang barang keperluan lain. Kalau Allah telah membuat timbangan jual beli, tidak layakkah Dia kemudian membuat timbangan kebenaran? Anehnya, manusia hanya bertanya kepada peramal atau paranormal tentang keadaannya. Ia tidak pernah bertanya kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul tentang tempat kembalinya.

Wahai saudaraku, usahakan untuk selalu boleh duduk di majlis hikmah. Kerana di dalamnya terdapat hembusan aroma syurga. Anda merasakan itu secara jelas dalam hati anda, dalam perjalanan anda, dalam rumah dan kedai anda serta dalam solat, tilawah al-Quran, zikir dan dalam semua ibadat anda.

Ketahuilah bahawa para ulama dan ahli hikmah tersebut mengajar anda bagaimana cara berinteraksi dengan Allah, cara menghadap-Nya dan cara mengagungkan-Nya.

Apakah menurut anda pembantu baru boleh melayani para tetamu agung? Tentu sahaja ia terlebih dahulu di serahkan kepada orang yang boleh mendidik dan mengajar akhlak kesopanan serta kepada orang yang boleh melatihnya untuk boleh melayan secara baik. Kalau sudah layak, terlatih dan mengenal adab sopan barulah ia dipakai sebagai pelayan. Jika tidak, ia akan ditolak, kerana tidak pandai.

Begitulah kedudukan para ulama dan wali Allah. Para murid sentiasa menyertai mereka sekaligus belajar dari mereka. Di sisi lain, para ulama itu mendidik para murid tersebut, mengajarkan amal soleh dan memperbaiki jiwa serta akhlak mereka. Sehingga dengan begitu diharapkan mereka boleh dekat dengan Allah, boleh meniti jalan istiqaamah dan petunjuk.

0 komentar

Posting Komentar